Monolog mendukung bayi kecil.

Caulfield menjaga kanak-kanak daripada terjatuh. Lukisan oleh William Marchant.


Aku memandang mata bayi itu lama-lama. Bayi itu di dalam dukunganku sekarang. Umurnya sudah menginjak setahun dan pesta kek coklat dan bungkusan nasi lemak dilontarkan untuk meraikan hari ketiga ratus enam puluh lima bayi itu hidup di dunia manusia.  Aku ingin bertanyakan bayi itu bagaimana rasanya meninggalkan alam roh dan memasuki dunia fana ini, tetapi sudah tentu itu absurd. Budak ini bukannya Nabi Isa. Dan mungkin ia tidak ingat pun.

Memandang mata bayi ibarat kita memandang ke kolam yang jernih, ia memantulkan kita semula pada permukaannya.

Aku terfikir, betapa jernihnya bayi ini daripada kekotoran dunia dewasa. Bayi ini hanya tahu ketawa apabila disusukan ibu, merengek apabila perutnya lapar, dan terlopong apabila melihat Upin & Ipin berkata 'betul betul betul' di kaca televisyen. Pendek kata, bayi asing daripada dunia dewasa yang rumit dan keras.

Dan aku membayangkan lagi, bagaimana pula bila bayi ini sudah menginjak dewasa nanti? Sudah pasti dia akan diuji oleh pelbagai unsur-unsur alam kedewasaan yang aneh itu. Hal-hal seperti politik, agama, seksualiti, nasionalisme, serta kemurungan hidup dan lain-lain lagi masalah kewujudan pasti akan mendatanginya - samada ia mahu atau tidak. Lalu, bagaimanakah bayi di dalam dukungan aku ini akan menghadapinya? Adakah dia akan jadi seorang aktivis? Adakah dia akan mengurungkan diri di kamar dan jadi pengarang? Atau lebih menyesatkan, dia hanya jadi seorang warga tidak peduli dan teruskan hidup seperti biasa, meskipun dalam dunia yang sedang terbakar?

Semasa aku membaca The Catcher In The Rye beberapa tahun lalu, aku banyak temui persamaan diriku dengan Holden Caulfield. Misal kata, kami sentiasa memandang dunia kedewasaan sebagai sesuatu yang poyo. Kami selalu bermain dengan monolog-monolog kecil di dalam minda kami sendiri dan kami suka untuk memerhatikan keliling. Lanjut lagi, kami juga ada semacam sentimen terhadap kanak-kanak: bahawa kami mahu melindugi anak-anak kecil daripada kedewasaan, seperti si catcher di pinggir rye. Dalam analogi ini, Holden mengibaratkan dirinya sebagai seorang penjaga kanak-kanak. Dia mahu kanak-kanak kekal dalam kejernihan mereka sebagai budak dan tak tergelincir ke gaung kedewesaan yang poyo dan pura-pura itu. Dia mahu anak-anak terus bermain dan berlari dan hidup sebebas-bebasnya.

Tapi sudah tentu, itu juga menyalahi hukum alam. Dengan berjalannya masa, kanak-kanak juga akan mendewasa. Mereka akan membesar dan akhirnya mempunyai pandangan-pandangan mereka yang tersendiri terhadap masyarakat serta dunia yang mereka diami. Mungkin mereka akan jadi agnostik atau komunis atau homoseksual, atau barangkali juga tidak. Semua ini bergantung kepada sifat naluri mereka serta persekitaran-persekitaran yang mereka didedahi.

Tiba-tiba, bayi kecil di dalam dukunganku terbersin. Hingusnya meleleh tertempel pada wajahku. Aku nak marah. Tapi tak jadi melihat senyum bayi itu memandang reaksiku. Dia ketawa nakal dan semua orang di rumah itu turut ketawa melihat gelagat kami. Baru aku sedar: barangkali aku tak perlu jadi Catcher in the Rye pun. Barangkali aku hanya perlu membina tangga dan memastikan kanak-kanak ini menuruni gaung kedewasaan dengan selamat tanpa perlu terjatuh terbabas.

Ya, alam dewasa tidaklah teruk sangat. Setakat ini. Lalu aku pergi ke meja dan dapatkan tisu sambil tersenyum.

Comments

Popular Posts